Program Penyembelihan Halal (HALJOB 2016)

 

PAHANG, 8 HINGGA 10 APRIL 2016 - Institut Penyelidikan dan Pengurusan Halal  (IHRAM), USIM telah bekerjasama dengan Hani D Unggul Sdn Bhd (HDUSB) dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk menyalurkan ilmu melalui penganjuran Kursus Penyembelihan Halal (HALJOB) 2016.

HALJOB 2016 yang dilaksanakan di Hotel Seri Malaysia, Temerloh, Pahang berhasrat membuka peluang pekerjaan kepada peserta dalam bidang pengurusan penyembelihan menepati garis panduan yang telah ditetapkan.

Objektif utama penganjuran HALJOB 2016 adalah untuk memberi kefahaman dan kesedaran berkenaan proses sembelihan dalam Islam selain memberi pendedahan berkaitan pengurusan daging halal.

Secara amnya, HALJOB 2016 merangkumi 8 modul iaitu Pembentukan Jati Diri Belia Muslim, Penyembelihan Dari Perspektif Syariah, Manual Praktikal Penyembelihan Halal, Teori dan Praktikal Sembelihan, Sembelihan Dalam Teknologi Moden, Perniagaan dan Keusahawanan Halal, Penyembelihan Halal Luar Negara Dan Aturan Sembelihan Halal dan Pentauliahan.

Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan turut dihadiri oleh YB Dato Sri Hj Mohd Sharkar Hj Shamsudin, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang merangkap Ketua Bahagian Temerloh dan En Mohd Roslan Mohd Saludin, Pengurus Besar, Jabatan Syariah dan Pematuhan Halal, QSR Brands (M) Holdins Sdn Bhd selaku wakil penyumbang dana zakat bagi pelaksanaan HALJOB 2016.

Program ini menerima seramai 16 orang asnaf dari pelbagai daerah sekitar Pahang yang pernah menjalani rawatan dan pemulihan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Institute of Halal Research and Management (IHRAM)

Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 7010 , Fax: +606-798 7015,   Website : ihram.usim.edu.my